Pages

Thursday, June 14, 2012

Kerja Dakwah

Alhamdulillah.. 

Saya baru habis membaca satu artikel dari Majalah Solusi, yang bertajuk "Bukan Sekadar Cakap-Cakap". Dan saya amat terkesan dengan gaya penulisannya, penerangannya dan juga isi-isi di dalamnya berkaitan 'kerja dakwah'. Apa yang dapat saya rumuskan di sini, artikel ini menunjukkan kita jalan keluar kepada 'turun naiknya semangat dakwah dalam diri' di mana kita tanpa sedar telah sering tersilap langkah dan tersandung dalam usaha kita berdakwah kepada masyarakat.

Antara beberapa pengisian yang saya rasa amat perlu dikongsi bersama ialah:

1. Kerja dakwah memang mencabar. Sesiapa yang mahu berjaya dalam usaha ini, mestilah bersabar dan bersangka baik. Punca usaha dakwah umat Islam pada hari ini kurang berjaya kerana kebanyakkan pendakwah kini, tidak boleh bersabar dengan kerenah orang ramai. Apabila dakwah mereka ditolak, orang lain yang dipersalahkan dan bukan dirinya sendiri.

2. Amalan para ulama terdahulu dalam dakwah mereka, ialah banyakkan tunjuk ajar kepada umat Islam berbanding dengan melarang pelbagai perkara. Sebenarnya, itulah yang melonjakkan penerimaan Islam dalam kalangan orang awam termasuk orang bukan Islam. Apabila kita memperbanyakkan sesuatu yang baik, secara tidak langsung kemungkaran tidak mampu dilakukan oleh masyarakat. 

3. Pendakwah masa kini, banyak mengutamakan amalan mencegah atau melarang daripada menyuruh. Apabila mulut dibuka untuk bercakap atas nama nasihat, pasti terungkap kata-kata "jangan itu" dan "jangan ini". Perkara haram lebih suka dibesarkan sehingga orang ramai menganggap betapa susahnya hidup dalam Islam kerana banyak perkara yang tidak boleh dibuat. 

4. Pendekatan Rasulullah iaitu amar makruf telah mempamerkan kejayaan besar dalam dakwah. Apabila pendakwah banyak menyuruh kebaikan malah mencontohkan kebaikan, perkara menjauhi kemungkaran akan diikuti. 

5. Pendekatan dakwah dengan mempamerkan sikap baik dan akhlak terpuji boleh membantu untuk membawa mereka kembali kepada kebenaran. 


Jadi apa tunggu lagi? 
AYUH! Mari kita ubah cara kita berdakwah. Semoga lebih ramai yang terkesan dengan cara 'amar makruf' ini daripada kita membuta-tuli melaungkan 'nahi mungkar'. 


No comments:

Post a Comment

Helo my dear readers.
Sila muntahkan disini segala luahan anda yea!