Pages

Thursday, June 14, 2012

Adab berkenaan Masjid

Masjid merupakan pusat ibadah buat umat Islam selain memainkan peranan sebagai tempat solat. Ia merupakan tempat menuntut dan menyebarkan ilmu dan pengajian al-Quran.

Setiap orang yang mengunjungi rumah Allah mestilah mengambil perhatian terhadap adab-adab yang seharusnya ada iaitu:

1. Ikhlas kerana Allah
:: Apabila kita menuju dan memasuki masjid, hendaklah berniat untuk beribadah kepada Allah SWT. Bukannya berniat untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain bahawa kita sedang beribadah di masjid.

2. Menuju ke masjid dengan sopan dan tenang
:: Pastikan perjalanan menuju ke masjid tidak disertai dengan perbuatan yang tidak sepatutnya seperti gelak ketawa dan dalam keadaan gopoh-gapah.

3. Menjaga pakaian dan perhiasan
:: Masjid adalah tempat yang mulia, maka setiap tetamu Allah yang pergi ke masjid mestilah dalam keadaan menutup aurat dan menjaga dirinya daripada menampakkan perhiasan yang tidak sepatutnya diperlihatkan.

4. Mempraktikkan adab-adab berada di dalam masjid.
:: Adab-adab tersebut termasuklah yang tersurat mahupun yang tersirat. Adab-adab yang tersurat seperti menjaga percakapan, pendengaran dan perlakuan. Manakala adab yang tersirat adalah kedudukan hati ketika berada di dalam masjid. Apabila melangkah ke dalam masjid, seseorang hendaklah masuk dengan berzikir kepada Allah SWT, berselawat kepada Nabi SAW, melangkah dengan kaki kanan dan menunaikan solat sunat tahiyyat al-masjid. 

5. Tidak membuat perkara yang sia-sia
:: Berkata-kata sesuatu yang tidak mendatangkan faedah merupakan perbuatan yang sia-sia. Seharusnya seseorang itu menjaga dan menahan dirinya daripada berbicara kecuali perkara yang bermanfaat untuk agama.

6. Tidak menjadikan masjid sebagai tempat lalu-lalang
:: Tidak wajar bagi seseorang lalu di dalam masjid hanya untuk sesuatu kepentingan tanpa menunaikan solat dua rakaat. Nabi SAW bersabda, yang bermaksud: "Antara tanda-tanda hari kiamat adalah apabila seseorang lalu di dalam masjid tanpa menunaikan solat dua rakaat di dalamnya dan seseorang yang tidak memberikan salam kecuali kepada orang yang dikenalinya." (Riwayat al-Tabarani)

7. Menanam rasa cinta terhadap masjid
:: Seseorang yang sentiasa inginkan kebaikan dan pahala perlu berusaha menanam rasa cinta terhadap masjid dengan amalan-amalan yang mendekatkan dirinya kepada Allah SWT seperti zikir, solat, majlis ilmu dan sebagainya. Usaha yang dilakukan untuk datang ke masjid juga bukti seseorang mencintai masjid. Rasulullah SAW mengkhabarkan dalam hadis Baginda bahawa seseorang yang "meletakkan" masjid di hatinya, akan dinaungi Allah SWT.

8. Mengubah tempat jika mengantuk
:: Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: "Jika salah seorang daripada kalian mengantuk ketika berada di dalam masjid, hendaklah dia berpindah dari tempat duduknya ke tempat lain." (Riwayat Abu Daud)

9. Memelihara kebersihan masjid
:: Biarpun masjid itu tidak dihiasi dengan batu marmar dan perhiasan yang mahal dan cantik, jangan memilih tempat untuk beribadat. Setiap masjid perlu dijaga dan dipelihara kebersihannya dan kesuciannya daripada sebarang kekotoran dan maksiat.




No comments:

Post a Comment

Helo my dear readers.
Sila muntahkan disini segala luahan anda yea!