Pages

Friday, July 27, 2012

Kelebihan dan Adab Di Bulan Ramadhan

Dah seminggu kita semua menjalani ibadah puasa. Alhamdulillah, saya masih diberi kesempatan untuk merasai Ramadhan pada tahun ini. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dari yang lepas.

Syukur juga hari ini diberi kesempatan untuk mengupdate blog yang dah lama terbiar dek kekangan masa. Sibuk dengan kelas dan assignment membuatkan saya ada kalanya terlupa untuk membelek blog ini.

Kali ni, saya ingin berkongsi tentang Ramadhan yang saya dapat dari pembacaan saya. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat memperbaiki lagi ibadah kita di bulan penuh barakah ini. Ameen Ya Rabbal Alamin..

KELEBIHAN RAMADHAN

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah. 
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Lihatlah, betapa Allah SWT sangat mengasihani hamba-Nya yang taat beribadat dan menurut segala perintah-Nya. 
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi perlu kita ingat bahawa sahabat baik syaitan yang berada dalam diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai. 
4. Puasa mampu menjadi perisai buat diri kita daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
5. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi. 
6. Orang yang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah SWT kelak. 

ADAB BERPUASA DI BULAN RAMADHAN

Setiap yang mengerjakan puasa perlulah menjaga adab-adab ketika berpuasa agar ibadah yang dilakukan lebih sempurna. Antara adab-adab yang terpenting ialah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengan kita.  
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang sia-sia. 
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutamanya ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih. 
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan perkara maksiat. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna.
5. Jangan memperbanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga.
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat sehingga berlakunya pembaziran.
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin.
8. Mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air.
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya. 



No comments:

Post a Comment

Helo my dear readers.
Sila muntahkan disini segala luahan anda yea!