Dah seminggu kita semua menjalani
ibadah puasa. Alhamdulillah, saya masih diberi kesempatan untuk merasai Ramadhan
pada tahun ini. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dari yang lepas.
Syukur juga hari ini diberi
kesempatan untuk mengupdate blog yang dah lama terbiar dek kekangan masa. Sibuk
dengan kelas dan assignment membuatkan saya ada kalanya terlupa untuk membelek
blog ini.
Kali ni, saya ingin berkongsi tentang
Ramadhan yang saya dapat dari pembacaan saya. Mudah-mudahan kita sama-sama
dapat memperbaiki lagi ibadah kita di bulan penuh barakah ini. Ameen Ya Rabbal
Alamin..
KELEBIHAN RAMADHAN
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya
kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala
amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan,
manakala pintu neraka pula ditutup. Lihatlah, betapa Allah SWT sangat mengasihani
hamba-Nya yang taat beribadat dan menurut segala perintah-Nya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar
kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi perlu kita
ingat bahawa sahabat baik syaitan yang berada dalam diri kita iaitu nafsu akan
menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Puasa mampu menjadi perisai buat diri kita daripada
terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa
yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
5. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada
bauan kasturi.
6. Orang yang berpuasa akan mengecapi dua
kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah SWT kelak.
ADAB
BERPUASA DI BULAN RAMADHAN
Setiap yang mengerjakan puasa perlulah menjaga
adab-adab ketika berpuasa agar ibadah yang dilakukan lebih sempurna. Antara adab-adab
yang terpenting ialah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan
mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengan kita.
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat
dan mendengar perkara yang sia-sia.
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan
minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutamanya ketika
berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal
lagi bersih.
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan
anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan perkara maksiat. Dengan
demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna.
5. Jangan memperbanyakkan tidur pada siang
harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi
menyelami kejerihan lapar dan dahaga.
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu
ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat sehingga
berlakunya pembaziran.
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi
pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan
mengingati-Nya sebaik mungkin.
8. Mempraktikkan amalan sunnah seperti segera
berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia
tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
9. Menyediakan
makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar
atau segelas air.
10. Memenuhi malamnya
dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.